Our Grassroots Adviser
Risalah Aug/Sep 2023

Para Penduduk,
Tidak lama lagi, kita semua akan meraikan ulang tahun negara kita. Acara Makan Malam Hari Kebangsaan yang diadakan setiap tahun akan berlangsung pada 5 Ogos, diikuti dengan Acara Memperingati Hari Kebangsaan pada pagi 9 Ogos di Gelanggang Serba Guna di Khatib (MPC@Khatib). Sertai kami dan sama-sama kita meraikan satu tahun lagi sebagai sebuah negara yang merdeka dan makmur! Bagi pencinta persembahan getai Cina, ayuh ke MPC@Khatib bagi menyaksikan konsert Super Sunday pada 6 Ogos.
Selain acara-acara rasmi, kami juga akan membawakan pelbagai aktiviti dan acara muzikal untuk menghidupkan suasana dan kerancakan budaya di Nee Soon South. Anda boleh jangkakan persembahan Konsert Orkestra Cina Singapura di MPC@Khatib pada petang 22 Julai. Bagi mereka yang gemarkan muzik klasikal dan menenangkan, kami juga akan adakan “Muzik di Taman” di Taman Kolam Air Lower Seletar pada petang Sabtu 19 Ogos. Ia adalah satu cara yang baik untuk bersantai di hujung minggu bagi orang dewasa mahupun kanak-kanak.
Ogos juga merupakan bulan di mana kami bakal melancarkan sebuah program baru yang diusul Pejabat Generasi Warga Emas. Di sebalik setiap kedutan di wajah terselit kisah menarik tentang cabaran dan kejayaan. Warga emas membawa bersama mereka kekayaan pengetahuan dan pelbagai pencapaian bermakna dan cerita untuk disampaikan kepada generasi muda. Nee Soon South bersama Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) menjemput warga emas untuk tampil berkongsi kisah inspirasi hidup mereka tentang daya tahan, empati dan kekuatan hubungan mereka. Anda boleh menyerahkan borang anda dengan mengimbas kod QR untuk mendaftar. Jika kisah anda dipilih, anda berpeluang diiktiraf sebagai Warga Emas Bulanan Nee Soon South. Setiap bulan, kami mencari dua warga emas untuk berkongsi cerita yang membawa inspirasi. Lihat sekeliling anda dan calonkan warga emas lain – anda boleh calonkan ibu bapa anda, jiran anda, atau seorang teman warga emas yang anda kenali tinggal di Nee Soon South.
Selain kisah-kisah yang menyentuh hati ini, saya juga ingin mengetengahkan beberapa perkara yang saya perhatikan, dan untuk memberikan peringatan agar kita terus menjaga kebersihan dan keselesaan kejiranan kita bersama.
Pertama, pemilik haiwan peliharaan diminta agar membersihkan najis anjing anda, dan bawa bersama sebotol air untuk menjirus sebarang air kencing anjing di permukaan konkrit atau lantai berjubin.
Kedua, sekiranya anda menemui sesiapa yang memberi makan kepada burung merpati atau burung-burung lain, ingatkan mereka bahawa ianya satu kesalahan, dan mereka boleh didenda sehingga $10,000 di bawah Akta Hidupan Liar.
Ketiga, ialah untuk mengingatkan para penduduk untuk tidak membuang sampah di dalam kotak Derma Lampin yang anda lihat di luar Sheng Siong dan NTUC. Terdapat juga sebuah kotak plastik kecil berhampiran Sheng Siong untuk orang ramai meletakkan beg plastik BERSIH agar orang lain boleh menggunakannya semula semasa membeli barang dan tidak perlu membayar 5 sen bagi sebuah beg. Sila hormati niat baik inisiatif-inisiatif ini dan elakkan dari membuang sampah ke dalam kotak-kotak ini.
Pemikiran sivik serta sikap timbang rasa kita pada orang lain yang berkongsi sekitaran dengan kita merupakan ramuan penting bagi menjadikan Nee Soon South sebuah kediaman yang baik untuk semua. Pada masa sama, kita juga mempunyai mereka yang nyanyuk, mengalami demensia, atau yang amat tertekan dalam kehidupan mereka. Ayuh kita ingatkan mereka dengan cara yang lembut dan jangan memarahi mereka. Kita tidak tahu kepayahan dan cabaran yang mereka lalui. Bersikap baik boleh membantu menenangkan seseorang yang sedang melalui hari yang mencabar.
Dengan itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua terlebih dahulu! Saya nantikan peluang menemui anda di kedai kopi Khatib pada hujung minggu dan di acara-acara lain dalam dua bulan mendatang ini